Pilih satu Halaman

PrEP

Perlukan lebih keyakinan? Jika anda sedang mencari perlindungan yang sangat berkesan daripada HIV, ianya ialah Pre-exposure prophylaxis (PrEP)!

APAKAH ITU PREP?

PrEP ialah ubat yang digunakan untuk orang HIV negatif sebagai langkah mencegah HIV. Ianya adalah pengambilan pil yang mengandungi ubatan tenofovir disoproxil fumarate dan emtricitabine, sebanyak sekali sehari, di bawah pemerhatian seorang doktor.

PrEP mengurangkan risiko penyebaran HIV melalui seks sehingga 92% apabiladiambil dengan betul. Ia membenarkan anda menikmati seks dengan pasangan anda sambil mengetahui yang anda berada dalam keadaan yang kurang berisiko mendapat HIV.

Bagaimana PrEP melindungi saya?

PrEP berkesan melindungi anda daripada HIV melalui seks sehingga 92% apabila diambil dengan betul. Apabila ianya digandingkan dengan penggunaan kondom, anda boleh memastikan bahawa anda sangat kurang berisiko mendapat STD atau STI!

Baca lagi

Apabila digunakan secara konsisten, PrEP juga berkesan sehingga 70% dalam menghalang HIV melalui penggunaan dadah melalui suntikan atau “slamming”.

Disebabkan anda mengambil pil ini bagi mencegah HIV berbanding merawatnya,anda tidak perlu bergantung kepadanya sepanjang hayat – anda boleh menggunakannya selama mana yang anda inginkan jika anda memerlukan perlindungan yang lebih. Ianya mungkin berminggu-minggu, berbulan-bulan, bertahun-tahun, atau dalam tempoh yang sekejap ketika anda ingin melakukan seks tanpa kondom.

PrEP hanya akan berkesan jika anda HIV negatif. Oleh sebab itu, anda perlu melakukan ujian saringan HIV sebelum mengambil PrEP. Perundingan awal anda untuk PrEP akan melibatkan ujian HIV yang akan mengesahkan status anda sebelum anda diberikan preskripsi perubatan tersebut.

Walaupun PrEP sangat berkesan melindungi anda daripada HIV, ia tidak melindungi anda daripada STD atau STI yang lain seperti gonorea, sifilis atau klamidia. Oleh itu, adalah penting untuk selalu menggunakan kondom walaupun anda mengambil PrEP.

PrEP bukanlah pil kecemasan untuk HIV. Jika anda rasa anda telah terdedah kepada HIV, anda sepatutnya menggunakan Post-exposure prophylaxis (PEP). Baca lebih lanjut tentang PEP di sini.

Berminat? Cari di mana anda boleh mendapatkan PrEP menggunakan Pencari Klinik kami.

PREP ON DEMAND

Sesetengah orang mungkin tidak mahu mengambil PrEP setiap hari, tetapi tetap ingat perlindungan lebih apabila mengetahui mereka akan melakukan persetubuhan dubur ataupun “anal sex.” Jika anda mendapati diri anda dalam situasi ini, anda boleh kekal bersiap sedia dengan PrEP On Demand.

 

Baca lagi

Menggunakan garis masa dos ‘2-1-1’ – dua pil di antara 2 hingga 24 jam sebelum ‘bermain’, satu pil 24 jam selepas pil pertama, dan satu pil terakhir 24 jam kemudian – PrEP On Demand memberikan perlindungan daripada HIV yang berkesan seperti PrEP harian.

Jika anda mempertimbangkan PrEP on Demand, adalah sangat penting untuk tidak tertinggal mana-mana dos yang anda perlu ambil. Jika dijangka berlaku sedemikian, berbincanglah dengan doktor anda atau kaunselor berkaitan mendapatkan PrEP harian.

PrEP On Demand hanya boleh melindungi anda daripada pendedahan HIV melalui persetubuhan dubur. Jika anda fikir anda akan terlibat dengan chem fun (CF), rawatan PrEP harian adalah lebih baik untuk melindungi diri anda.

Berminat untuk menggunakan PrEP On Demand? Take Charge Today Fun Pack mengandungi satu rawatan PrEP On Demand, satu kondom, dan satu sesi kaunseling bersama Take Charge Advocate.  Kekal berhubung dengan kami melalui e-mel hello@take-charge.today atau Live Chat jika anda ingin mendapatkan satu Fun Pack.

FREQUENTLY ASKED QUESTIONS

Pasangan saya ialah HIV positif, tetapi saya HIV negatif. Bolehkah saya menggunakan PrEP?

Ya. Anda digalakkan mengambil PreP untuk memberikan anda lebih perlindungan -terutamanya jika pasangan anda masih dalam boleh menjangkiti.

Jika saya menggunakan PrEP, adakah saya masih perlu menggunakan kondom?

Walaupun PrEP melindungi anda daripada HIV, ia tidak melindungi diri anda dari sifilis, gonorea dan STD yang lain. Di sini pentingnya kondom – apabila PrEP diambil bersama penggunaan kondom, anda boleh memastikan diri anda berada dalam risiko rendah terdedah kepada STD.

Apakah ubat yang digunakan bagi PrEP?

Satu tablet PrEP mengandungi dua ubat antiretroviral: tenofovir disoproxil fumarate dan emtricitabine.

Gabungan ubatan ini dikenali dengan banyak jenama. Yang paling terkenal ialah Truvada, yang dibuat oleh Gilead Sciences Inc. Truvada tidak dijual di Malaysia, namun jenama generik seperti Tenvir-EM dan Teno-Em ada di Malaysia, dan juga berkesan menghalang HIV.

Berapa banyak PrEP patut saya ambil?

Jika anda mengambil setiap hari, dos anda ialah satu tablet setiap hari, sepanjang tempoh rawatan.

Jika anda mengambil PrEP On Demand, anda perlu menurut peraturan “2-1-1”: dua tablet di antara 2 hingga 24 jam sebelum seks, satu tablet 24 jam selepas tablet, dan satu lagi tablet pada 24 jam terakhir.

Adakah PrEP benar-benar mencegah HIV?

PrEP adalah sangat berkesan mencegah jangkitan HIV kepada orang HIV negatif. Keberkesanannya sehingga 92% mencegah jangkitan HIV melalui seks dubur, dan sehingga 70% berkesan menghalang jangkitan melalui penggunaan dadah melalui suntikan (‘slamming’). Banyak kajian telah mengesahkan perkara ini.3

3Prevention Centers for Disease Control and Prevention (CDC)

Berapa lamakah PrEP yang diambil akan berkesan?

Bagi pengambilan harian PrEP untuk berkesan mencegah HIV, paras ubat di dalam tubuh perlu sentiasa mencukupi. Ini dianggarkan mengambil masa 7 hari bagi seks dubur. Setelah itu, pengubatan perlu diteruskan dengan diambil setiap hari bagi mengekalkan tahap keberkesanannya.

Jika anda mengambil PrEP On Demand, adalah sangat penting untuk anda kekal pada pelan dos “2-1-1” untuk rawatan kekal berkesan. Ambil perhatian bahawa PrEP On Demand hanya berkesan untuk seks dubur – perlindungan HIV daripada aktiviti selain seks dubur boleh diperolehi daripada pengambilan harian PrEP.

Apakah yang perlu saya lakukan jika PrEP memberikan kesan sampingan?

Walaupun PrEP boleh digunakan oleh kebanyakan orang, akan terdapat kesan sampingan awal semasa tubuh anda menyesuaikan diri dengan PrEP. Jika ini berlaku, anda boleh memilih untuk mengambil dos anda sebelum waktu tidur.

Jika anda tidak boleh tahan kesan sampingan atau ia berlarutan lebih daripada satu bulan, segera dapatkan nasihat daripada doktor yang memantau anda.

Adakah PrEP mempunyai kesan jangka masa panjang?

Ubat yang digunakan untuk PrEP dijangkakan tiada kesan sampingan dengan penggunaan bertempoh lama. Walaubagaimanapun, anda akan perlu bekerja rapat dengan doktor anda bagi mengenal pasti sebarang kesan sampingan yang mungkin akan timbul.

Walaupun jarang berlaku, sesetengah orang mengalami penurunan fungsi buah pinggang dan hati ketika dalam PrEP. Doktor anda akan melakukan ujian fungsi asas dan jika keputusannya menunjukkan anda mengalami kerosakan buah pinggang atau hati, ujian darah akan dilakukan selalu bagi tujuan pemantauan.

Saya mengambil ubatan lain bagi masalah kesihatan lain. Bolehkah saya menggunakan PrEP?

PrEP dikenal pasti tidak bertindak balas dengan kebanyakan ubatan lain. Namun begitu, adalah lebih baik anda memaklumkan kepada doktor anda atau juru farmasi tentang pengambilannya sebelum anda menggunakan ubatan lain.

Saya mengambil arak dan/atau menggunakan dadah rekreasi. Bolehkah saya menggunakan PrEP?

Dalam kajian, PrEP tidak bertindak balas dengan arak atau dadah rekreasi. Namun begitu, sentiasa beringat yang keadaan mabuk atau khayal boleh menyebabkan anda lupa untuk mengambil PrEP. Ia mungkin memberikan kesan kepada kepatuhan dan menurunkan keberkesanan rawatan anda.

Berapakah kos PrEP?

Kos standard bagi bekalan PrEP selama 30 hari mungkin sekitar antara RM120-RM800, bergantung kepada klinik atau farmasi. Ini mungkin tidak termasuk bayaran perjumpaan doktor atau sebarang ujian.

Bagi memenuhi keperluan sesi-sesi ‘fun’ anda, Take Charge Fun Pack turut ditawarkan dan mengandungi  satu rawatan PrEP On Demand, kit ujian pantas HIV, satu kondom, dan satu sesi kaunseling bersama Take Charge Advocate.

Bolehkah saya mendapatkan PrEP daripada plan insurans kesihatan swasta saya?

Malangnya, PrEP tidak diliputi dalam mana-mana pelan insurans kesihatan swasta di Malaysia.

Bagaimana saya boleh mengekalkan kepatuhan saya?

Secara idealnya, PrEP perlu diambil pada setiap masa yang sama, setiap hari bagi mengekalkan paras mantap ubatan dalam tubuh.

Bagi melakukan ini, adalah perlu menjadikan pengambilan ubat pada masa yang tepat sebagai tabiat. Gunakan penggera atau peringatan, dan bawa dos lebih jika anda tidak berada di rumah.

Apakah yang saya perlu lakukan jika saya tertinggal satu dos?

Jika anda tertinggal satu dos harian PrEP, teruskan mengambilnya pada masa anda yang telah tetapkan. Satu dos yang tertinggal sekali sekala akan memberikan kesan minimal kepada keberkesanan PrEP. Tidak perlu mengambil dua dos serentak bagi menggantikan satu dos yang tertinggal itu.

Jika anda mengambil PrEP On Demand, adalah sangat penting untuk anda tidak tertinggal mana-mana dos. Kegagalan mematuhi pelan 2-1-1 akan mengurangkan keberkesanan PrEP On Demand.

Saya akan ke luar negara. Bilakah masa saya boleh mengambil pil saya apabila saya di destinasi terbaru?

Jika anda berada di luar negara, PrEP boleh diambil pada waktu yang sama seperti biasa, tidak kira perbezaan zon masa.

Bolehkah saya membawa pil-pil saya ketika saya keluar negara?

Seperti mana-mana ubatan bagi tujuan peribadi, PrEP boleh dibawa bersama anda ketika anda keluar negara. Simpan pil di dalam bekas yang berlabel, dan bawa surat preskripsi doktor bersama anda jika anda perlu menjalani pemeriksaan kastam. Pastikan anda membawa PrEP dengan cukup bersama anda di sepanjang perjalanan itu, dan bawa sedikit lebih bagi kes-kes kelewatan.

Apakah kesan sampingan PrEP?

Dalam beberapa minggu pertama setelah memulakan PrEP, sesetengah orang mengadu sakit kepada, pening, keletihan atau kesan sampingan perut seperti rasa mual, cirit-birit dan kejang perut. Kesan-kesan ini akan hilang setelah tubuh anda mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan ubatan.

PrEP mungkin akan memberi kesan sampingan kepada fungsi buah pinggang bagi segelintir orang. Ujian darah bagi fungsi buah pinggang mungkin akan dilakukan bagi memantau rejimen rawatan anda.

Jika anda bimbang dengan kesan sampingan atau sedang mengalaminya, berbincanglah dengan doktor anda ketika temu janji pemeriksaan.

Di manakah saya boleh mendapatkan PrEP?

Anda boleh mendapatkan PrEP di klinik-klinik kesihatan seksual swasta dan di beberapa pusat kesihatan komuniti. Cari satu berhampiran anda dengan Pencari Klinik kami.

Jika anda ingin mendapatkan rawatan PrEP On Demand, kekal berhubung dengan kami melalui e-mel atau Live Chat dan kami akan menguruskan penghantaran Take Charge Fun Pack kepada anda.

Bolehkah saya mendapatkan PrEP di kemudahan-kemudahan kesihatan kerajaan?

Farmasi kerajaan pada waktu ini tidak menyediakan PrEP. Jika anda sedang diuji bagi HIV dan STD yang lain di sebuah kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan, berbuallah dengan doktor yang anda temui bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang PrEP.

Bolehkah saya mendapatkan PrEP di klinik-klinik kerajaan?

PrEP pada waktu ini tidak disarankan untuk pencegahan HIV oleh Kementerian Kesihatan. Namun begitu, sesetengah klinik kerajaan mungkin memberikan preskripsi PrEP berasaskan penilaian risiko. Ini dilakukan berdasarkan pertimbangan doktor terbabit, dan tiada jaminan bahawa anda akan mendapat ubat tersebut. Perlu maklum bahawa kemudahan-kemudahan kerajaan hanya boleh memberikan preskripsi, tetapi bukan untuk mengeluarkan ubatan PrEP – sebaliknya, anda akan perlu mendapatkan ubatan di farmasi.

Bolehkah saya berkongsi PrEP dengan orang lain?

Seperti mana-mana ubatan lain, berkongsi ubatan anda dengan orang lain adalah tidak digalakkan. Satu ubatan yang berkesan untuk anda tidak semestinya berkesan untuk orang lain.