PEP
Apabila keadaan menjadi hangat dan mengghairahkan, kita mungkin kadangkala terlupa untuk melindungi diri sendiri. Apabila perkara ini berlaku, adalah penting anda mengambil tindakan segera – di sinilah PEP atau “Post-exposure prophylaxis” memainkan peranan.

Apakah itu PEP?
PEP merujuk kepada pengambilan ubat HIV selama tempoh satu bulan untuk. mengelakkan HIV daripada berganda di dalam sel-sel badan yang telah dijangkiti. PEP ialah untuk orang yang telah, atau mungkin terdedah, kepada virus ini.
Baca lagi
Antara situasi kecemasan di mana kegunaan PEP adalah disarankan ialah:
- Persetubuhan dubur atau “anal sex” tanpa perlindungan
- Jika kondom pecah, koyak atau tertanggal ketika seks
- Perkongsian jarum atau picagari ketika menggunakan dadah atau melakukan chem fun.
Jika anda rasa yang anda mungkin telah terdedah kepada virus HIV, segeralah berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan seksual. Cari di mana anda boleh mendapatkan PEP menggunakan Pencari Klinik kami.
Apa yang anda perlu tahu
PEP perlu diambil dalam tempoh 72 jam setelah disyaki terdedah kepada HIV. Lebih cepat anda bermula, lebih baik peluang untuk menghentikan virus tersebut daripada berganda dalam badan. Selepas 72 jam pertama, penggunaan PEP mungkin tidak berkesan untuk mencegah jangkitan HIV dan penggunaannya adalah tidak digalakkan.
Baca lagi
PEP ialah pilihan langkah terakhir yang hanya patut dilakukan pada situasi kecemasan. Menggunakan PEP dengan kerap mungkin mengurangkan keberkesanannya dalam jangka panjang. Jika anda mendapati anda perlu menggunakan PEP dengan kerap, adalah lebih baik jika anda beralih kepada PrEP.
Walaupun PEP berkesan untuk menghentikan jangkitan HIV, ada sedikit peluang di mana ia tidak berkesan. Jika anda diuji HIV positif ketika atau selepas mengambil PEP, adalah penting untuk anda mendapatkan nasihat doktor dan memulakan rawatan dengan segera. Klik sini untuk mengetahui apa yang anda perlu lakukan sekiranya anda diuji positif.
FREQUENTLY ASKED QUESTIONS
Ubat apakah yang digunakan untuk PEP?
Rawatan PEP terdiri daripada penggunaan berterusan ubat antiretroviral selama 28 hari. Bergantung kepada situasi anda, ianya mungkin terdiri daripada:
- Satu pil gabungan tenofovir/emtricitabine dan satu pil dolutegravir, atau
- Satu pil gabungan tenofovir/lamivudine/dolutegravir.
Bagaimana saya perlu mematuhi PEP?
Sebaiknya, PEP perlu diambil pada masa yang sama pada setiap hari untuk mengekalkan paras ubat di dalam tubuh.
Dalam berbuat demikian, adalah perlu untuk menjadikan ia sebagai sebuah amalan. Gunakan penggera atau peringatan, dan bawa ubat anda bersama ketika anda tiada di rumah.
Apa yang perlu saya lakukan jika menjadi HIV positif selepas mengambil PEP?
Jika anda menjadi HIV positif selepas PEP, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah memulakan rawatan. Dapatkan rujukan ke sebuah hospital pakar daripada doktor atau klinik anda.
Apakah kesan sampingan PEP?
Dalam beberapa minggu pertama setelah memulakan PEP, sesetengah orang mungkin mengadu sakit kepala, pening, keletihan atau kesan sampingan seperti, berasa mual, cirit-birit dan kejang perut. Kesan sampingan ini akhirnya akan hilang setelah tubuh anda membiasakan diri dengan ubat ini.
PEP mungkin akan memberi kesan kepada fungsi buah pinggang bagi sesetengah orang. Ujian darah bagi fungsi buah pinggang mungkin akan disarankan sebagai dalam sebahagian daripada pemantauan anda.
Jika anda bimbang dengan kesan-kesan sampingan atau ada mengalaminya, berbincanglah dengan doktor anda ketika melakukan pemeriksaan kesihatan.
Apakah yang perlu saya lakukan jika saya menghadapi kesan sampingan ketika melalui PEP?
Walaupun ubatan PEP boleh diterima oleh kebanyakan orang, mungkin ada kesan sampingan awal ketika tubuh anda menyesuaikan diri dengan perubatan ini. Jika ini berlaku, anda boleh mengambil dos harian anda sebelum waktu tidur.
Jika anda tidak mampu membiasakan diri dengan kesan sampingannya, dapatkan nasihat segera daripada doktor anda.
Di manakah saya boleh mendapatkan PEP?
Rawatan PEP ditawarkan di klinik-klinik kesihatan seksual swasta dan di pusat-pusat kesihatan komuniti. Cari klinik yang berdekatan dengan anda menggunakan Pencari Klinik kami.
Berapakah harga PEP?
Untuk penggunaan PEP selama 28 hari, kosnya mungkin sekitar RM800 bergantung kepada klinik. Harga ini mungkin tidak termasuk bayaran konsultasi dan ujian.
Ikuti kami di: