Pilih satu Halaman

RAWATAN HIV

Highly Active Antiretroviral Therapy (HAART) adalah rawatan HIV menggunakan kombinasi perubatan antiretroviral. HAART tidak menyembuhkan HIV, tetapi ia mengawal virus, menghentikannya daripada berganda dalam tubuh, dan mengurangkan bilangan virus yang kekal di dalam badan hingga ke paras tidak dikesan atau “undetectable”.

Rawatan HIV telah bertambah baik dalam dekad-dekad yang lepas. Orang yang hidup dengan HIV ditawarkan pilihan rawatan yang berkesan untuk mengurangkan kebarangkalian mereka menyebarkan virus ini kepada orang lain, dan membantu mereka hidup sebaik orang yang tidak mempunyai HIV.
Dengan adanya rawatan HAART, HIV/AIDS bukan lagi “hukuman mati” atau penyakit yang tidak boleh dirawat – sebaliknya, ia telah menjadi keadaan kronik yang boleh dirawat.

HAART dan doktor anda

Rawatan HAART barisan pertama tersedia secara percuma melalui sistem penjagaan kesihatan kerajaan bagi semua rakyat Malaysia. Temu janji pertama dan susulan dan pengedaran tersedia di Klinik Kesihatan dan hospital seluruh negara.

Baca lagi

Jika anda telah disaring positif di klinik, anda mungkin akan dicadangkan beberapa hospital atau klinik untuk mendapatkan rawatan, atau anda boleh juga memilih hospital atau klinik yang sesuai dengan anda.

Sebelum anda diberi rawatan HAART, anda perlu melalui ujian darah untuk mengesahkan status HIV anda. Klinik anda akan diberikan surat rujukan hospital bagi ujian darah ini.

Jika anda didiagnosis HIV positif, doktor anda akan menyarankan anda untuk menjalani rawatan HAART dengan segera. Lebih cepat anda memulakan HAART, lebih pantas ia mengawal HIV, dan lebih baik untuk anda untuk jangka masa panjang.

Sesetengah doktor mungkin menilai kesediaan anda untuk menjalani rawatan HAART. Ia bergantung kepada kriteria tertentu, seperti sebarang isu berkaitan kepatuhan atau kemudahan-kemudahan penjagaan kesihatan yang berhampiran dengan anda. Jika hal ini berlaku, adalah sangat penting untuk anda bekerjasama dengan doktor anda bagi memastikan anda boleh memulakan rawatan HAART pada waktu yang betul.

Rawatan HAART selalunya dilakukan di bawah pemantauan doktor. Oleh itu anda perlu hadir kesemua temu janji anda. Semasa lawatan pertama anda, anda mungkin perlu melakukan:

  • perbincangan untuk memastikan doktor anda sentiasa sedia maklum dengan keadaan semasa anda
  • ujian darah untuk bilangan sel darah putih (“white blood cell count,” WBC), bilangan virus (“viral load,” VL), fungsi hati dan buah pinggang, dan penyakit kelamin (“sexually transmitted infections, STI)
  • X-ray dada untuk memeriksa jika terdapat jangkitan tibi pada paru-paru
  • ujian atau pemeriksaan lain untuk keadaan kesihatan lain.

Kekal pada HAART

Bagi memastikan HAART berkesan mengawal HIV, adalah sangat penting untuk anda kekal mengambil ubat anda.

Baca lagi

Ini termasuklah:

  • Sentiasa mengambilnya pada waktu yang sama setiap hari;
  • Tidak meninggalkan mana-mana dos;
  • Membawanya bersama anda di mana saja anda perlukan, seperti di tempat kerja, aktiviti santai, dan ketika anda berpergian.

Menyesuaikan rutin harian anda di sekeliling terapi HAART semasa anda masih baru menjalaninya boleh menjadi sukar, tetapi dengan peringatan yang sesuai, ianya akan menjadi lebih mudah menjadi satu tabiat untuk anda. Satu cara untuk memastikan anda tidak lupa mengambilnya pada waktu yang betul ialah dengan memasang penggera pada masa anda mengambilnya.

Pada permulaan rawatan HAART, anda mungkin mengalami kesan-kesan sampingan. Sesetengahnya termasuk:

  • Anemia;
  • Cirit-birit
  • Berasa loya
  • Berasa letih
  • Insomnia;
  • Pening atau sakit kepala;
  • Muntah;
  • Berasa khayal atau “high”;
  • Ruam-ruam;
  • Mimpi-mimpi aneh;
  • Masalah saraf.

Ianya mungkin membuatkan anda berasa tidak selesa, tetapi semua ini adalah perkara biasa ketika memulakan HAART. Tubuh anda akan menyesuaikan diri dengan keadaan ini, dan anda tidak akan lagi mengalami kesan-kesan sampingan tersebut di masa hadapan.

Jika anda mengalami kesan sampingan yang teruk atau berpanjangan, jangan berhenti makan ubat anda sebelum mendapatkan nasihat doktor. Buat temu janji kecemasan bersama doktor anda atau pergi ke jabatan kecemasan hospital.

Jika anda menghadapi masalah pengambilan ubat, berbuallah dengan doktor, kaunselor atau ahli farmasi anda tentang perkara ini. Mereka boleh membantu anda mengubahsuai rutin harian anda bagi memenuhi keperluan HAART.

Menjadi “undetectable”

Sasaran rawatan HAART ialah menurunkan paras HIV di dalam tubuh anda kepada paras yang tidak boleh dikesan ataupun “undetectable” oleh ujian-ujian bilangan viral yang standard, iaitu di bawah 50 salinan virus HIV bagi setiap mL darah. Apabila anda pertimbangkan yang bilangan virus HIV mencecah jutaan bagi seseorang yang tidak dirawat, ini ialah satu perubahan yang sangat besar!

Baca lagi

Apabila kandungan virus di dalam badan anda mencecah paras ini, anda dikatakan “undetectable,” dan jika anda dapat mengekalkan paras “undetectable” selama enam bulan atau lebih, ia bermaksud yang ubatan HAART anda berfungsi dengan baik. Tanpa begitu banyak HIV dalam darah, kesan negatifnya kepada badan anda berkurang.

Paras viral “undetectable” hanya boleh dicapai melalui pematuhan jangka panjang kepada rawatan HAART. Jika rawatan tidak terjaga, anda berisiko mengalami peningkatan semula HIV ke paras boleh dikesan, dan boleh mengakibatkan ubat anda hilang kesannya.

Mengekalkan status ini membenarkan PLHIV untuk hidup sesihat orang yang HIV negatif. Namun begitu, anda masih dinasihatkan untuk menggunakan perlindungan seperti kondom dan menjalani ujian STI, kerana anda masih boleh terdedah kepada penyakit kelamin lain walaupun anda “undetectable”.

1UNAIDS

HAART dan kesejahteraan diri anda

Pengekalan status “undetectable” ini bukan sahaja kepada pematuhan kepada HAART – ia juga melibatkan anda menjaga kesihatan dan kesejahteraan anda secara amnya.

Baca lagi

Mencari masa di dalam rutin harian anda melibatkan diri dengan aktiviti fizikal, memakan pemakanan seimbang dan menyihatkan, belajar menguruskan tekanan dan kesejahteraan mental anda, dan mengelakkan penggunaan alkohol, tembakau atau dadah. Baca lebih lanjut berkaitannya di sini.

Ingat bahawa walaupun anda telah “undetectable”, ia tidak bermakna yang anda terlindung daripada penyakit STI seperti gonorea, klamidia dan sifilis! Ingatlah untuk memakai kondom setiap kali melakukan hubungan seks, kerana ianya adalah satu-satu langkah untuk melindungi diri anda daripada STI yang lain. Baca lebih lanjut mengenai kondom di sini.

Menjadi HIV positif meletakkan anda pada risiko yang lebih tinggi untuk mendapat jangkitan bersama atau “coinfection”, seperti tibi dan Hepatitis B dan C. Walaupun jangkitan ini boleh disembuhkan, ia boleh menjejaskan kesihatan seorang PLHIV dengan teruk jika tidak dirawat. Jika anda bimbang tentang jangkitan seperti ini, berbincanglah dengan doktor anda – mereka akan mampu membantu anda mengenal pasti mana-mana jangkitan bersama tersebut, dan merawatnya dengan sepatutnya. Baca lembaran fakta kami berkaitan jangkitan bersama TB dan hepatitis B and C 

Kerjasama yang rapat bersama doktor anda adalah sangat penting dan membantu dalam memastikan yang anda dirawat dengan baik. Jika anda memerlukan pendapat profesional, berbuallah dengan doktor anda atau cari sebuah klinik menggunakan Pencari Klinik kami.

FREQUENTLY ASKED QUESTIONS

Apakah itu HAART?

Highly-active antiretroviral therapy (HAART) ialah rawatan HIV menggunakan kombinasi beberapa ubat antiretroviral.

Adakah ART dan ARV perkara yang sama dengan HAART?

Betul! ART bermakna “Terapi Antiretroviral”, dan ARV bermakna “Antiretroviral” -kedua-duanya merujuk kepada HAART.

Adakah HIV boleh disembuhkan?

Pada waktu ini, walaupun banyak kajian sedang dijalankan untuk mencari penawar kepada HIV, ia masih belum dijumpai. Rawatan HAART tidak menyembuhkan HIV, tetapi ia mengawal virus, menghentikannya daripada berganda di dalam tubuh, dan mengurangkan jumlah virus yang berada di dalam tubuh ke paras tidak dikesan atau “undetectable”.

Apakah ubatan yang digunakan sebagai HAART?

Bergantung kepada keadaan anda, doktor anda akan memberikan satu preskripsi kombinasi berdasarkan kepada jenis-jenis ubatan:

Nucleoside analogue
reverse-transcriptase
inhibitors (NRTI)
● Abacavir (ABC)
● Didanosine (DDI)
● Emtricitabine (FTC)
● Lamivudine (3TC)
● Stavudine (D4T)
● Tenofovir alafenamide (TAF)
● Tenofovir disoproxil fumarate (TDF)
● Zidovudine (AZT)
Non-nucleoside reverse-
transcriptase inhibitors
(NNRTI)
● Efavirenz (EFZ)
● Etravirine (ETR)
● Nevirapine (NVP)
● Rilpivirine (TMC278)
Integrase inhibitors (INSTI) ● Dolutegravir (DTG)
● Elvitegravir (EVG)
● Raltegravir (RAL)
Protease inhibitors (PI) ● Darunavir (DRV)
● Lopinavir (LPV)
● Ritonavir (RTV)
Pharmacokinetic booster ● Cobicistat

Rujukan: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia

Setiap kombinasi mungkin datang dalam bentuk pil individu, atau satu tablet yang menggabungkan dua atau lebih ubatan dari senarai di atas. Tablet-tablet individu atau tablet gabungan ini mempunyai banyak jenama. Oleh itu, adalah penting untuk anda membiasakan diri dengan setiap satunya!

Adakah HAART mempunyai kesan-kesan sampingan?

Dengan pelbagai jenis ubatan ini, HAART mungkin akan menyebabkan beberapa kesan sampingan awal yang boleh hilang apabila tubuh anda menyesuaikan diri dengannya. Antara kesan-kesan sampingan termasuklah:
● Anemia;
● Cirit-birit
● Berasa loya
● Berasa letih
● Insomnia
● Pening atau sakit kepala
● Muntah
● Ruam-ruam
● Berasa khayal atau “high”
● Mimpi-mimpi aneh
● Masalah saraf
Jika anda mengalami kesan-kesan sampingan yang teruk atau berlarutan, jangan mengabaikan atau memberhentikan mengambil ubat tanpa berbincang dengan doktor anda. Jadualkan temu janji kecemasan dengan doktor anda, yang akan menasihati anda bagaimana untuk meneruskannya.

Di mana saya boleh cari HAART? Berapakah kosnya?

Pengubatan HAART barisan pertama boleh didapati secara percuma oleh rakyat Malaysia, di Klinik-klinik Kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara. Anda akan memerlukan surat rujukan daripada sebuah klinik sebelum anda boleh mendapatkan rawatan HAART percuma.

Jika anda memerlukan pengubatan HAART barisan kedua, kerajaan akan memberi subsidi sebanyak separuh dari harganya. Anda boleh menjangkakan untuk membayar RM700-RM1000 untuk bekalan sebulan ubat anda.

Jika anda perlu mengambil ubat HAART barisan ketiga, sila ambil maklum bahawa ianya tidak lagi disubsidi oleh kerajaan. Maka, anda perlu membayar jumlah penuh.

Apa akan berlaku jika saya terlupa makan ubat saya?

Adalah penting untuk anda kekal mematuhi dan mengambil ubat anda pada masa yang sama setiap hari. Jika anda tidak mematuhi rawatan HAART anda, ada risiko virus akan menjadi rintang (“developing resistance”) kepada ubat-ubat anda yang sedia ada. Apabila virus menjadi rintang, anda tiada pilihan lain melainkan dengan menukar ubat.

Jika anda terlupa secara tidak sengaja mengambil ubatan anda, jangan panik! Terus makan sebaik sahaja anda ingat. Jika waktu itu terlalu hampir dengan masa dos yang seterusnya, abaikan dos tersebut dan ambil yang seterusnya pada waktu yang biasa. Jangan menggandakan dos anda untuk menggantikan dos yang tertinggal.

Bagaimanakah proses mendapat rawatan HAART di klinik atau hospital kerajaan?

Terdapat beberapa langkah untuk mendapatkan rawatan HAART di kemudahan kesihatan kerajaan seperti hospital atau Klinik Kesihatan. Lawatan kali pertama mungkin akan kelihatan rumit atau memakan masa, tetapi proses lawatan susulan adalah lebih senang.

Langkah 1: Jika anda diuji HIV positif di klinik kerajaan atau swasta, doktor atau pegawai kesihatan bertugas akan memberikan anda surat rujukan hospital.
Langkah 2: Buat panggilan kepada klinik penyakit berjangkit (ID Clinic) hospital pilihan anda untuk bertanya tentang waktu untuk pesakit luar.
Langkah 3: Bawa surat rujukan dan kad pengenalan anda semasa lawatan pertama. Kakitangan klinik akan menjana rekod dan akan meminta anda untuk mendaftar di kaunter pendaftaran pesakit luar.
Langkah 4: Apabila kakitangan kaunter pendaftaran selesai berurusan dengan anda, anda akan berjumpa dengan seorang kaunselor untuk berbincang tentang diagnosis anda. Sementara menunggu, anda akan diukur berat, tinggi dan tekanan darah dan juga menjalani ujian darah.
Langkah 5: Selepas sesi kaunseling, anda akan berjumpa dengan doktor. Temu janji dengan doktor mungkin dijadualkan terus selepas sesi kaunseling, ataupun pada hari yang lain.
Langkah 6: Apabila berjumpa doktor, anda akan berpeluang untuk berbincang tentang diagnosis dan pelan rawatan anda bersama mereka. Doktor anda mungkin akan memberi anda ubat atau menyuruh anda menjalani ujian darah kali kedua atau X-ray, dan menjadualkan temu janji seterusnya.
Langkah 7: Pergi ke farmasi hospital untuk mendapatkan ubatan anda. Anda boleh pulang selepas anda mendapat ubat.

 

Saya HIV positif - bagaimana saya boleh mencapai status "undetectable"?

Bagi kebanyakan penghidap HIV, hanya satu cara sahaja untuk mencapai bilangan viral tidak terkesan “undetectable,” iaitu dengan mendapatkan rawatan, dan kekal mematuhinya. Di sinilah HAART memainkan peranan.

Apabila seseorang baru sahaja didiagnosis, sasaran awal rawatan ialah untuk memulakan rawatan HAART. Perkara ini biasanya akan berlaku setelah keadaan awal anda telah dinilai oleh doktor yang mengendalikan rawatan anda. Anda boleh menjangkakan untuk menerima preskripsi HAART anda yang pertama dalam tempoh dua minggu hingga sebulan selepas diagnosis pertama.

Setelah anda memulakan rawatan HAART, anda perlu meneruskannya di samping mengekalkan kepatuhan terhadap rawatan anda. Jika ubat HAART yang diberi oleh doktor anda terbukti berkesan untuk tempoh jangka masa panjang, ubatan ini akan bekerja menurunkan bilangan virus anda ke bawah 50 salinan per mL darah – yang mana di bawah paras boleh dikesan bagi kebanyakan ujian bilangan virus yang standard.

Ada sesetengah doktor mungkin memilih untuk menunggu rawatan HAART sehingga jumlah sel darah putih CD4 per mililiter padu jatuh di bawah 500 unit. Jika situasi anda seperti ini, adalah sangat penting untuk anda bekerjasama dengan doktor anda bagi kekal dipantau.

Apakah yang akan berlaku bila saya telah "undetectable"?

Jika sekarang anda telah “undetectable”, tahniah! Ini bermakna HAART berkesan untuk anda. Sekarang tugas di tangan anda untuk kekal pada rawatan, untuk menghadiri semua temu janji kesihatan yang perlu, dan membuat beberapa perubahan gaya hidup untuk memastikan anda kekal pada status “undetectable”.

Apabila anda menjadi “undetectable” ini bermakna jumlah HIV dalam darah anda telah berkurang ke jumlah yang sangat rendah, sehingga ia tidak dapat dikesan dalam ujian-ujian bilangan virus. Apabila terlalu sedikit virus di dalam badan, kesan negatifnya kepada sistem imun akan berkurangan.

Jika anda telah menjadi “undetectable” untuk 6 bulan atau lebih lama, dan anda mematuhi rawatan anda dengan baik, anda boleh yakin bahawa anda tidak akan menyebarkan HIV melalui hubungan seks, walaupun ketika melakukan hubungan seks tidak terlindung.

Bagaimana saya boleh mengekalkan status "undetectable"?

Untuk anda kekal pada status “undetectable”, anda mesti kekal pada rawatan HAART. Itulah bahagian yang paling penting dalam rawatan HIV – jika anda tidak kekal pada HAART, virus itu akan mula membangunkan kerintangan terhadap pengubatan dan mula mengganda semula di dalam tubuh anda.

Di samping mengekalkan HAART, anda boleh juga mengubahsuai semula gaya hidup anda untuk memastikan sistem imun anda kuat. Antara perubahan yang boleh buat ialah menerapkan rutin senaman, pemakanan sihat, mengurangkan tekanan, mengamalkan penjagaan mental, dan mengurangkan atau memberhentikan penggunaan tembakau, arak atau dadah.

Jika saya telah "undetectable", adakah itu bermakna saya telah sembuh dari HIV?

Tidak. HIV ialah keadaan kesihatan kronik – setelah anda menghidapinya, virus tersebut akan kekal berada di dalam tubuh anda selama-lamanya. HAART memberhentikan HIV mengganda di dalam tubuh, tetapi ia tidak menyembuhkannya.

Anda mungkin tergoda untuk mula mengabaikan rawatan HAART setelah anda menjadi “undetectable” – anda tidak patut lakukannya! Jika anda tidak kekal mematuhi rawatan, anda mungkin akan menyebabkan virus membina kerintangan terhadapnya.

Patutkah saya risau mendapat jangkitan-jangkitan kelamin (STI) jika saya HIV positif dan "undetectable"?

Sudah tentu. Badan anda perlukan lebih perhatian dari sebelum ini!

Rawatan untuk HIV tidak bermakna anda juga dirawat untuk STI yang lain. Satu jangkitan STI boleh memberikan kesan anda tanpa menunjukkan sebarang simptom, dan mungkin boleh memberi kesan buruk kepada penghidap HIV positif jika dibiarkan tidak dirawat. Oleh itu, adalah sangat penting untuk anda sentiasa kekal mengemaskini status STI anda melalui pemeriksaan berkala.

Jika doktor yang memantau keadaan anda tidak melibatkan pemeriksaan STI secara berkala dalam rutin rawatan anda, anda boleh melakukannya dengan sendiri. Pastikan anda menjalani ujian STI sekurang-kurangnya enam bulan sekali, dan lebih kerap jika anda mempunyai ramai pasangan mesra, melakukan seks tanpa kondom, atau mengamalkan Chem Fun (CF).

Adakah OK jika saya mengabaikan perlindungan ketika saya melakukan seks jika saya "undetectable"?

Apabila anda “undetectable”, risiko anda menyebarkan HIV melalui seks adalah hampir tidak wujud, walaupun anda melakukan seks tanpa perlindungan.

Namun begitu, sebelum anda mengabaikan perlindungan, pastikan anda “undetectable” untuk sekurang-kuranya enam bulan, sentiasa mengambil ubatan, dan tidak menghidap penyakit kelamin (STI). Ingat yang anda boleh dijangkiti STI daripada teman seks anda juga.

Apakah risiko saya mendapat penyakit lain jika saya HIV positif?

Jangkitan HIV boleh meletakkan anda pada risiko mendapat jangkitan bersama, di mana ia mengambil kesempatan ke atas kelemahan imunisasi akibat serangan HIV ke atas tubuh anda. Orang yang tiada HIV boleh dijangkiti juga, tetapi kesan jangkitan bersama ke atas tubuh anda mungkin menjadi lebih teruk kerana sistem imun tubuh anda mungkin tidak cukup kuat untuk melawan balik.

Berada dalam rawatan HAART menurunkan risiko mendapat jangkitan bersama,tetapi sesiapa yang berada pada HAART kadangkala juga boleh terkena jangkitan ini. Untuk sebab ini, adalah penting untuk PLHIV membiasakan diri dengan jenis-jenis jangkitan bersama yang biasa seperti tibi dan Hepatitis B dan C, dan bekerjasama dengan doktor untuk menghalang atau merawatnya.

Sesetengah doktor mungkin akan mencadangkan supaya anda menjalani terapi pencegahan isoniazid (“isoniazid preventive therapy,” IPT). Isoniazid ialah antibiotik yang digunakan untuk merawat jangkitan tibi, tetapi juga boleh diambil oleh orang yang tidak mempunyai TB sebagai langkah melindungi diri mereka daripada dijangkiti.

Baca lembaran fakta kami tentang jangkitan bersama di sini:
HIV dan Tibi
HIV dan Hepatitis B dan C